Saturday, January 22, 2011

Amalan Menjauhi Gangguan Syaitan

Di dalam penghujung surah Allah SWT memberi ingat bahawa syaitan akan sering meniupkan bisikan-bisikannya, firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (al-Nas:2-7).

Di dalam ayat yang Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku berlindung kepada-Mu, Wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (al-Mukminun: 98).

Kedua-dua ayat ini memberitahu kita bahawa musuh yang bernama iblis dan sesuai dengan sifat kesyaitanannya menjauhkan manusia daripada mentaati Allah SWT.

Tidak kiralah apa cara sekalipun asalkan anak Adam berjaya diganggu sehingga berhenti daripada mentaati Allah SWT dan mentaatinya dengan melakukan maksiat.

Manakan tidak bila seseorang itu berhenti mentaati Allah SWT bermaksud mentaati iblis. Nah, bila sudah jauh daripada Allah maka yang dekat dengannya ialah iblis.

Maka inilah yang menjadi matlamat iblis. Iblis sanggup berusaha siang dan malam, pagi dan petang tanpa mengenal erti putus asa dalam menggoda anak Adam.

Bisikan serta gangguan dalaman adalah kerana jiwa kita kosong, gersang daripada mengingati Allah SWT. Kekuatan dalaman kita menjadi dinding dan perisai bagi menghindari iblis durjana ini.

Dalam hadis Rasulullah SAW baginda bersabda yang bermaksud: Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah (ujian) syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata: “Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (al-Bukhari dan Muslim).

No comments: